Oleh Hadzlihady Hassan


MENANGIS teresak-esak sambil merayu, malah ada juga yang menawarkan wang kepada polis untuk dilepaskan selepas ditahan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus, Georgetown, malam tadi.

Itu antara yang dilakukan beberapa pelayan pelanggan (GRO) warga China dan Vietnam yang cuba meraih simpati kepada polis selepas ditahan.

Dalam Op Noda jam 12 tengah malam itu, seramai 21 GRO, seorang pekerja dan 16 pelanggan ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.

Ketika ditahan, beberapa GRO menangis dan meminta simpati supaya dilepaskan, malah ada juga yang berani menawarkan wang sehingga RM5,000 kepada pegawai polis.

Bagaimanapun, GRO yang menawarkan wang terbabit diberikan amaran oleh pegawai polis supaya tidak berbuat demikian dan dia akhirnya akur sebelum menangis.


ANTARA GRO warga asing yang ditahan dalam serbuan di Ipoh. FOTO Farah Suhaidah Othman.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang Datuk Zainol Samah berkata, serbuan dilakukan hasil risikan dan maklumat diterima pihaknya berhubung kegiatan premis itu yang dikesan menggunakan khidmat wanita warga asing sebagai tarikan kepada pelanggan untuk berhibur.

“Kita menahan 15 wanita GRO warga China, enam Vietnam dan seorang pekerja warga tempatan.

“Premis terbabit mempunyai lesen namun penjaga dan GRO terbabit ditahan kerana menggaji tanpa permit sah serta salah guna pasport,” katanya.

Menurutnya, kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan lanjut.

“Kita akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi bagi membendung gejala ini daripada berleluasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:25 PM