Anggota APM memotong pokok kelapa yang tumbang menghempap rumah penduduk akibat ribut semalam.
Zuliaty Zulkiffli

“SAYA sempat berlari menyelamatkan diri sebaik menyedari pokok kelapa di belakang rumah tumbang dan menghempap bahagian dapur rumah,” kata Azlina Abdul Rahim, 32.

Dalam kejadian 4.30 petang semalam, lima rumah di Kampung Sungai Seluang, Junjung, Karangan, Sungai Limau di Lunas dan Taman Mutiara, Kulim diterbangkan angin termasuk sebuah rumah yang ranap di bahagian dapur.

Azlina berkata, kejadian berlaku ketika dia bersiap untuk memasak hidangan berbuka puasa.

Katanya, ketika kejadian suaminya, Yusof Khalishah Merican, 38, berada di tempat bekerja manakala anak mereka berusia setahun berada dalam bilik.

“Saya menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) untuk meminta bantuan kerana bimbang sebarang kemungkinan berlaku kerana bahagian dinding dapur rosak teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim/Bandar Baharu, Kapten (PA) Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, angin kuat berserta hujan lebat bermula jam 3 petang semalam menyebabkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin.

Beliau berkata, bagaimanapun tiada mangsa yang cedera dalam kejadian itu kerana masing-masing berada dalam rumah dan berjaya menyelamatkan diri.

“Selain itu, enam kes pokok tumbang dilaporkan berlaku di kawasan berkenaan sehingga menghalang laluan lalu lintas.

“Anggota kami yang tiba selepas menerima laporan dari mangsa kemudian membantu memotong dahan dan membersihkan kawasan yang dilanda ribut,” katanya operasi tamat pada jam 6 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 8:38 PM