Skip this ad x
Mohd Shafie )dua dari kiri) melakukan upacara Mongomot iaitu menuai padi pada Majlis Penutupan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah tahun lalu. FOTO Mohd Adam Arinin
Mohd Izham Unnip Abdullah


KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin sambutan Kaamatan menjadi wadah perpaduan bagi rakyat Sabah.

Ini kerana, katanya perayaan tradisi masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus itu turut disambut semua pihak tanpa mengira bangsa, warna kulit dan agama.

“Bagi menghayati Kaamatan dalam konteks sebenar, marilah kita mengambil peluang ini untuk berterima kasih terhadap apa yang dikurniakan oleh Tuhan.

“Di Sabah, kita perlu bersyukur kerana terus hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni,” katanya dalam perutusan beliau sempena sambutan Kaamatan atau Pesta Menuai yang kemuncaknya dirayakan hari ini dan esok.

Mohd Shafie berkata, walaupun ada golongan tertentu yang cuba mewujudkan sentimen perkauman tetapi ikatan perpaduan kekal utuh.

“Malah, kita berupaya menangkis segala ancaman pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini kerana, amalan hormat-menghormati kepelbagaian budaya antara kita menjadi tunjang kepada perpaduan unik Negeri Di Bawah Bayu,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Shafie mengajak seluruh rakyat di Sabah agar sentiasa memelihara adat dan budaya supaya tidak terhakis.

“Di samping mengejar kekayaan dan kemodenan, janganlah lupa untuk mengamalkan budaya dan istiadat warisan nenek moyang kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:26 AM