KEADAAN kemalangan membabitkan 13 kenderaan semalam. FOTO Ihsan Pembaca
KEADAAN kemalangan membabitkan 13 kenderaan semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


KEMALANGAN 13 kenderaan di Kilometer 6.6, Jalan Batang Benar-Nilai, dekat Seremban semalam disebabkan sebuah treler hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, siasatan mendapati treler yang membawa muatan air mineral dari Pajam menuju ke Nilai.

Katanya, setibanya di lokasi treler dipandu Asmawi Yusuf, 40 hilang kawalan menyebabkannya terbabas hingga merempuh 12 kenderaan lain dari arah Nilai ke Pajam.

“Kenderaan berkenaan adalah dua Proton Wira, masing-masing sebuah Proton Waja, Perodua Kancil, Perodua Myvi, Honda City, Toyota Alphard, Proton Exora, Nissan Almera, Proton Saga; serta sebuah lori dan motosikal Modenas Kriss,” katanya.

Mohd Nor Marzukee berkata, sebaik kejadian pemandu treler cuba melarikan diri namun ditahan sepasukan anggota polis yang kebetulan berada di lokasi.

“Dalam kejadian ini pemandu treler cedera di tangan, pemandu Perodua Kancil patah kaki kanan manakala pemandu Proton Exora dan pemandu lori luka di tangan,” katanya.

Beliau berkata, pemandu lori terbabit bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis dan ujian air kencing terhadapnya mendapati negatif dadah.

Katanya, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan

Kemalangan 12 kenderaan, dua parah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 10:40 AM