ZULKURNAIN (dua kanan) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di JKDM, Kelana Jaya. FOTO Zunnur Al Shafiq
Norizuan Shamsuddin


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan minuman keras dengan penahanan seorang lelaki dalam serbuan di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, kelmarin.

Turut dirampas kira-kira 60,000 liter minuman keras dianggarkan bernilai RM1,820,676 termasuk nilai cukai.

Penolong Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata, serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota JKDM Zon Tengah (Unit 1) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), 2 petang.

“Bertindak atas maklumat awam, kami memeriksa dua kontena 40 kaki (12.1 meter) di Lapangan Pemeriksaan Kontena Penguatkuasaan, Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang.

“Hasil pemeriksaan mendapati dagangan yang dimuatkan adalah minuman keras yang belum lulus Kastam.

“Kuantiti minuman dirampas dianggarkan berjumlah 60,000 liter membabitkan nilai yang dianggarkan RM188,760 dan jumlah cukai RM1,631,916,” katanya pada sidang media di Kompleks JKDM Kelana Jaya, hari ini.

Zulkurnain berkata, susulan serbuan itu pihaknya menahan lelaki warga tempatan berusia 55 tahun yang disyaki ejen perkapalan bagi kontena terbabit.

Katanya, siasatan awal mendapati sindiket dipercayai membawa masuk kontena muatan minuman keras terbabit dengan membuat pengikraran palsu pada Borang Kastam 1 (import).

“Sindiket dipercayai mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengikrarkan dagangan terbabit sebagai perkakasan pembinaan rumah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g)(v) Akta Kastam 1967 (Akta 235) iaitu cubaan mengelak duti Kastam secara Frod.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 135(1)(v)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi, atau penjara tidak kurang enam bulan atau tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 1:15 PM