ALLAHYARHAM Faziani Rohban Ahmad. FOTO Zaman Huri Isa
Siti Rohana Idris


“APABILA melakukan semua urusan seorang diri seperti sekarang, kehilangan itu sangat dirasai dan secara automatik perasaan sebak akan hadir.”

Itu luahan suami pengasas produk kecantikan Dnars, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad yang meninggal dunia akibat kemalangan di Pattani, Thailand, 18 Mei lalu.

Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 42 berkata, kehilangan isteri tercinta sangat dirasai terutama ketika menjalankan urusan perniagaan atau kebajikan arwah.

“Walaupun sudah dia minggu arwah ‘pergi’, namun ketiadaannya masih dirasai.

“Sebelum ini kami sentiasa bersama-sama, baik ke kilang, pejabat atau urusan sedekah dan zakat kerana arwah memang tidak pernah berseorangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa bersama 200 anak yatim dan pelajar pondok serta madrasah sekitar Tumpat dan Besut, Terengganu di rumahnya di Kampung Paloh, Tumpat, semalam.

Katanya, majlis berbuka puasa itu antara yang termasuk dalam perancangan arwah Faziani dan dia hanya meneruskan majlis yang sudah ditetapkan tarikhnya semalam.


AHMAD Shah menyampaikan sumbangan kepada pelajar pondok. FOTO Siti Rohana Idris

Dalam pada itu, Ahmad Shah berkata, pusara arwah di Tanah Perkuburan Kampung Kedemit, Wakaf Bharu sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk dari luar Kelantan.

“Setiap kali mengunjungi pusara arwah isteri, pasti kuburnya lembap seolah-olah ada yang baharu menziarah namun ada juga yang terserempak dengan saya.

“Bukan sahaja kenalan terdekat, malah ada juga dari luar. Contohnya pagi semalam, kenalan arwah dari Rembau, Negeri Sembilan hadir menziarah pusaranya,” katanya.

Sementara itu, adik arwah, Mohd Faizul Rohban Ahmad, 34, berkata, urusan perniagaan arwah kakaknya berjalan seperti biasa dan kini dikendalikan oleh anak sulung arwah iaitu Iqbar Hakim Jasman, 20.

Katanya, arwah Faziani sempat mengajar anak saudaranya selok belok perniagaan sejak tahun lalu dan mula dilatih muncul di kaca televisyen sama ada secara bersama atau berseorangan.

“Bermula awal tahun ini Iqbar Hakim turun padang bersama ibunya dalam beberapa siaran langsung bagi memperkenalkan dan mempromosi produk Dnars Gold.

“Dari situ, dia mula belajar sedikit demi sedikit bagaimana hendak mengendalikan perniagaan yang ditinggalkan arwah ibunya, “Namun, pada masa sama kami sekeluarga akan memberi tunjuk ajar dan bimbingan kerana dia (Iqbar Hakim) masih muda,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Faziani sudah pesan tiga jenis menu'
  • Allahyarham Faziani majikan contoh
  • 'Kalau nak sedekah, buat senyap-senyap'
  • Damailah di sana, Faziani
  • Tahlil buat diri sendiri
  • Faziani dirindui artis
  • 'Ampunkan mami saya jika ada salah silap'
  • Pemergian Faziani kehilangan besar dunia perniagaan
  • ‘Mama pesan... jangan berebut harta’
  • Pengasas Dnars maut kemalangan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:43 PM