MAHAMED Ismail (tengah) dan Bibi Asha Hukum Khan bersama anak-anaknya di kediaman di Telipot. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris

SEMUA ahli keluarga chef selebriti allahyarham Muhammad Adam Mahamed Ismail tidak mengetahui arwah membuat caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sehingga dihubungi wakil agensi itu sehari selepas pemergiannya.

Kakak sulung arwah, Dr Nor Ashmiza Mahamed Ismail, 42, berkata, hubungan mereka lima beradik sangat rapat dan berkongsi segala perkara namun tidak dimaklumkan mengenai caruman yang dibuat arwah.

“Sehari selepas Adam meninggal dunia, saya dihubungi wakil PERKESO mengenai caruman yang dibuat arwah ketika bekerja dengan majikan terdahulu dan sebelum menjadi chef selebriti.

“Kami sekeluarga sangat terkejut dan tidak menyangka betapa sejauh itu arwah membuat perancangan kerana apa yang dibuatnya itu adalah untuk mummy dan daddy.

“Arwah memang anak yang bertanggungjawab kepada keluarga terutama kedua ibu bapa dan selalu menghulurkan belanja untuk kegunaan keluarga,” katanya ketika ditemui di kediaman ibu bapanya di Jalan Raja Dewa, Telipot di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, mereka dikunjungi Pengarah PERKESO Kelantan, Nora Yaacob, yang hadir menjelaskan bahawa allahyarham Muhammad Adam layak menerima Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

Dr Nor Ashmiza berkata, sumbangan FPM yang sudah dimasukkan terus ke akaun ibunya akan disedekahkan kepada anak yatim dan pondok tahfiz atas nama arwah Adam.

“Sehingga kini masih ada rakan arwah yang menghubungi saya untuk memberi sumbangan sedekah kematian namun saya dan keluarga menyarankan supaya wang itu disedekahkan kepada anak yatim atau asnaf atas nama Adam,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhammad Adam atau dikenali sebagai Adamdidam meninggal dunia, 19 Mei lalu akibat jangkitan paru-paru di kediaman ibu bapanya di Telipot.

Sementara itu Nora berkata, hasil semakan pihaknya melalui Skuad PERKESO Kelantan mendapati arwah Muhammad Adam adalah bekas pencarum bersama majikan terdahulu dan memenuhi kelayakan tuntutan Pencen Penakat PERKSEO.

“Walaupun kami menyedari keluarga arwah adalah daripada golongan berkemampuan tapi sebagai seorang yang pernah mencarum dengan PERKESO, ia tetap hak arwah untuk menerima Pencen Penakat.

“Ibu bapa arwah akan menerima Pencen Penakat secara bulanan sebanyak RM526.60 sepanjang hayat mereka manakala bayaran FPM sebanyak RM2,000 sudah dikreditkan ke akaun ibu arwah,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Fatimah London sempat bercakap dengan Mamaji [METROTV]
  • 'Mamaji anak yang baik'
  • 'Syurga buat Adam'
  • Chef selebriti Adamdidam meninggal dunia
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 2:51 PM