FARID Kamil Zahari. FOTO Arkib NSTP
Sarah Zulkifli


KEPUTUSAN akhir kes pendakwaan terhadap pelakon dan pengarah filem Datuk Farid Kamil Zahari yang menghadapi empat tuduhan termasuk menampar anggota polis dan orang awam, Januari tahun lalu, ditangguhkan kepada 21 Jun ini.

Majistret Nor Arifin Hisham menetapkan tarikh baharu itu dalam prosiding di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, terhadap pelakon yang kini sedang menjalani hukuman penjara sembilan di Penjara Kajang.

Farid yang memakai baju T berwarna merah dan berseluar jeans itu dilihat tenang di dalam kandang tertuduh.

Turut kelihatan duduk di galeri awam, Fadzil Bahri.

Terdahulu, peguam mewakili Farid, Megat Syazlee Mokhtoram memberitahu mahkamah pihaknya baharu sahaja menerima hujahan bertulis daripada pihak pendakwaan .

“Berikutan itu, kami memerlukan masa kira-kira dua minggu bagi meneliti hujahan berkenaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Alia Sumayyah Amran kemudian memohon maaf kerana kegagalannya memfailkan hujahan itu berikutan mengalami masalah kesihatan.

Sementara itu, Megat ketika ditanya keadaan Farid apabila ditemui media selepas tamat prosiding memaklumkan anak guamnya dalam keadaan baik dan merindui anak-anaknya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Asyraf Ahmad, 36, dan Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 25.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Farid didakwa menggunakan kekerasan jenayah dan menghalang tugas polis dan didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara, bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa berkelakuan tidak senonoh di Balai Polis Trafik Kota Damansara dengan mengeluarkan kata-kata kurang sopan kepada Muhammad Nizam yang mana ia boleh mendatangkan kemarahan dan penghinaan.

Dakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara maksimum enam bulan jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di kaunter pertanyaan di Balai Polis Trafik Kota Damansara pada jam 1.20 tengah hari, 11 Januari lalu.

Pada 10 Mei lalu, Farid didenda RM2,000 atas tuduhan pilihan membuat laporan polis palsu Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, tahun lalu.

Sementara, pada 15 Mei lalu, pelakon itu dihukum penjara sembilan bulan atas tuduhan menggunakan dadah jenis Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu, selepas dia memilih untuk berdiam diri dalam prosiding membela diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:40 PM