RAIS Rafael (kanan) bersama ibu, Noraisyah Fathin dan bapa, Rozaidi Mohamed, 31, ketika ditemui di Flat Residensi, Teluk Bahang. FOTO Shahnaz Fadzlie Shahrizal
Zuhainy Zulkiffli


“TERIMA kasih rakyat Malaysia, Allah saja yang mampu membalas kebaikan semua,” kata Noraisyah Fathin Che Azmi, 31, ibu kepada pengidap kanser Retinoblastoma Extraoccular tahap empat, Rais Rafael Rozaidi, tiga tahun.

Berikutan berita penderitaan Rais Rafael di Harian Metro semalam, dana yang diperlukan keluarga berkenaan bagi kos rawatan pembedahan mega kanak-kanak itu sudah berjaya dikumpul dalam tempoh 24 jam.

Noraisyah Fathin berkata, dia juga mendapat khabar gembira apabila pakar perunding memaklumkan sebahagian daripada kos rawatan terbabit akan ditanggung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi tabung bantuan perubatan.

Berita itu diterima menerusi pertemuan dengan pakar yang merawat Rais Rafael di Hospital Pulau Pinang (HPP), hari ini.

“Justeru, pembedahan dijangka berlangsung pada penghujung Jun ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

“Saya terharu dengan keprihatinan dan sumbangan pantas orang ramai bagi membantu Rais Rafael,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Harian Metro melaporkan Rais Rafael yang tinggal di Flat Residensi, Teluk Bahang memerlukan dana sebanyak RM33,000 bagi menampung kos pemindahan tulang sum-sum (stemcell transplant).

Kanser yang dikesan beberapa bulan lalu merebak ke mata kirinya dan pembedahan bagi membuang mata berkenaan baru saja dijalankan.

Selepas pembedahan berjaya, kanser didapati merebak ke tulang rusuk menyebabkan Rais Rafael perlu menjalani satu lagi pembedahan mega.

Sepatutnya pembedahan sudah berlangsung namun terpaksa ditangguhkan berikutan kekurangan dana.

“Dengan jutaan terima kasih, saya memohon kepada orang ramai supaya menghentikan sumbangan kepada Rais Rafael dan dapat membantu insan lain yang memerlukan.

“Tiada apa lagi yang hendak saya minta, selain mendoakan supaya pembedahan itu berjalan lancar dan selamat,” katanya.

Berita berkaitan

Derita Rais Rafael

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 3:46 PM