Amir Abd Hamid


“SUMBANGAN ini amat bermakna untuk petugas kami. Terima kasih Harian Metro,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWPKL) Datuk Ismail Mohd Zawawi.

Ismail berkata, 700 Kotak Rezeki Harian Metro yang diterima membantu petugas di lapangan terutamanya ketika melaksanakan Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) yang bermula semalam hingga 13 Jun.

“Sumbangan ini membuatkan kami petugas keselamatan berasa dihargai.

“Ia membakar semangat kami untuk terus melaksanakan tugas dengan penuh dedikasi terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kotak Rezeki Harian Metro kepada JPJWPKL, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kotak Rezeki Harian Metro disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro, Tuan Asri Tuan Hussein kepada Ismail sebelum ia diagihkan kepada bahagian dan cawangan JPJWPKL.

Turut hadir, Pengarang Eksekutif (Komersial) Harian Metro Husain Jahit; Pengarang Berita (Komersial) Harian Metro Noor Azam Abd Aziz dan Pengarang Berita (Politik) Harian Metro Nasharuddin Muhammad.


TUAN Asri (tujuh kiri) bersama Ismail (*lapan kiri) dan warga kerja JPJWPKL bersama Kotak Rezeki Harian Metro yang diterima. FOTO Mohd Yusni Ariffin

Ismail berkata, dia menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati sepanjang musim perayaan ini.

“Patuhi undang-undang jalan raya. Pastikan anda selamat sampai ke destinasi. Kami di JPJWPKL berharap dapat mengurangkan kadar kematian.

“Kalau boleh sifar kematian kerana ia merugikan negara. Ini kerana kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) mendapati kerajaan kerugian RM1.2 juta akibat kematian seorang pengguna jalan raya.

“Dianggarkan sekitar 6,000 kematian setiap tahun. Jadi, berhati-hatilah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Harian Metro turut menyampaikan kotak rezeki berkenaan kepada Bahagian Anti Permerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Sebanyak 100 Kotak Rezeki Harian Metro diserahkan wartawan Amir Abd Hamid kepada Ketua Penolong Pengarah D3 Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 4:18 PM