KEADAAN kereta mangsa yang remuk teruk. FOTO ihsan bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


SEORANG maut dan tiga cedera dalam kemalangan membabit tiga kenderaan di Kilometer 11 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.50 pagi itu, kemalangan membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Grand Livina dan Proton Exora dengan lori.

Mangsa yang maut ialah pemandu Nissan Grand Livina, Mohd Nazeri Zakaria, 42, manakala tiga yang cedera adalah anak mangsa, pemandu Proton Exora dan pemandu lori.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca apabila Nissan Grand Livina hilang kawalan.

“Nissan Grand Livina dipandu mangsa bersama dua anaknya itu dari arah Jeli ke Gerik, sebaik tiba di lokasi kejadian, MPV berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

“MPV berkenaan dilanggar oleh Proton Exora dari arah Gerik ke Jeli sebelum lori yang berada di belakang Proton Exora merempuhnya,” katanya dalam kenyataannya hari ini.

Ismail berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati terdapat seorang mangsa tersepit.

“Mangsa yang tersepit ialah pemandu Proton Exora manakala pemandu Nissan Grand Livina sudah dikeluarkan oleh orang awam dan diserahkan kepada polis,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 6:27 PM