Muhaamad Hafis Nawawi


LELAKI warga emas cedera di lengan dan kaki selepas disamun tiga lelaki yang menaiki motosikal sebelum diseret beberapa meter di kawasan berhampiran Pasar Billion di Alor Setar, pagi hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa Choo Tar Cheang, 66, mengayuh basikal sebelum dihampiri dua motosikal dan seorang daripada suspek merentap beg tangannya.

Lebih menyedihkan, Choo diseret sehingga seluarnya tertanggal. Mangsa kerugian RM300 akibat kehilangan beg tangannya dalam kejadian itu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, mangsa turut terseret beberapa meter selepas disamun suspek yang kemudian melarikan diri.

Menurutnya, mangsa yang cedera kemudian menerima rawatan di hospital sebelum tampil membuat laporan polis.

“Polis sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dua rumah yang merakam kejadian itu.

“Usaha mengesan suspek sedang dijalankan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 10:46 PM
LELAKI warga emas disamun tiga lelaki yang menaiki motosikal sebelum diseret beberapa meter di kawasan berhampiran Pasar Billion di Alor Setar. FOTO Ihsan Pembaca