KUALA LUMPUR 27 SEPTEMBER 2018. Suasana ibu pejabat Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) di Kuala Lumpur. NSTP/SUPIAN AHMAD
Hairulazim Mahmud


PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mahu ibu bapa ‘bersuara’ supaya agensi itu terus berperanan membiayai anak-anak mereka ke universiti pada masa hadapan.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, selama ini agensi berkenaan hanya mengambil kira pandangan dan rintihan peminjam-peminjam yang berhutang.

“Jika kita terpaksa mengurangkan pinjaman kepada satu orang sahaja sebab kita tidak dapat mengutip balik bayaran dengan penuh, mungkinkah seorang itu anak anda? Demi masa depan anak mereka, inilah masanya untuk memberi pandangan.

“Kita selalu cakap dengan mereka yang meminjam sedangkan apa-apa yang berlaku sekarang akan memberi kesan kepada kemampuan mereka menghantar anak ke universiti pada masa akan datang,” katanya.

Beliau bercakap kepada media pada Majlis Iftar Bersama Media dan Anak Yatim di Kuala Lumpur, hari ini.

WAN Saiful bergambar kenangan bersama penerima sumbangan Rumah Amal Asnaf Al Barakh ketika Iftar PTPTN. FOTO Aziah Azmee

Sehubungan itu, Wan Saiful berkata, Konsultasi Rakyat berkaitan mekanisme bayaran balik PTPTN dilancarkan pada 16 Mei lalu dan dibuka sehingga 13 Jun ini adalah saluran terbaik untuk tujuan itu.

“Marilah kita bersama-sama memberikan idea dan pandangan

masing-masing di portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my/kertas-konsultasi-rakyat yang akan berakhir pada 13 Jun,” katanya.

Dalam pada itu Wan Saiful berkata, PTPTN akan meneruskan fungsinya sebagai pemberi pinjaman pendidikan tinggi walaupun pada masa ini terpaksa menampung hutang yang tinggi.

“Ini operasi PTPTN, model kita ialah pinjam untuk bagi pinjaman.

“PTPTN tidak akan berhenti dari terus beri pinjaman kerana operasinya bukan begitu,” katanya.

Katanya lagi, walaupun jumlah peminjam yang liat membayar hutang tinggi tapi itu tidak akan menjejaskan PTPTN terus menjalankan fungsinya.

“Itu yang kita nak cuba selesaikan iaitu pastikan keperluan untuk kita meminjam dapat kita kurangkan dengan kutipan dapat dipertingkatkan,” katanya.

Wan Saiful berkata, PTPTN tidak akan menghentikan operasinya sementara waktu semata-mata untuk mengutip hutang.

“Realitinya kita boleh bagi pinjaman cuma nak pastikan peningkatan pembayaran dan bilangan kita bagi pinjaman kekal dalam 180,000 hingga 200,000 peminjam setahun,” katanya.

Terdahulu semasa berucap pada majlis itu, Wan Saiful berkata, PTPTN menganjurkan Program Jelajah Ramadan PTPTN Prihatin bermula 18 Mei hingga 2 Jun ini.

“Sebanyak lebih RM2.2 juta daripada wakalah zakat PTPTN dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diserahkan kepada golongan asnaf dan masjid di 166 kawasan Parlimen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 1:09 AM