LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


EMPAT lelaki yang meragut lelaki warga emas di kawasan berhampiran Pasar Billion di Alor Setar, ditahan polis dalam beberapa serbuan awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, dua suspek berusia 19 dan 26 tahun ditahan di rumah mereka oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, 4.30 pagi.

Menurutnya, polis turut merampas sebuah topi keledar dan motosikal Honda Dash bagi membantu siasatan.

“Ujian saringan air kencing ke atas mereka mendapati positif methamphetamine.

“Siasatan lanjut kemudian menahan dua lagi lelaki berusia 17 dan 19 tahun pada 4.55 pagi di kawasan Tongkang Yard, di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Rozi berkata, polis merampas sebuah topi keledar dan ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif methamphetamine.

“Permohonan reman sudah dibuat dan semua suspek akan direman selama empat hari mulai hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Harian Metro malam tadi melaporkan lelaki warga emas cedera di lengan dan kaki selepas diragut suspek yang menaiki motosikal sebelum diseret beberapa meter di kawasan berhampiran Pasar Billion di Alor Setar, pagi hari ini.

Dalam kejadian 8.30 pagi itu, mangsa Choo Tar Cheang, 66, mengayuh basikal sebelum dihampiri dua motosikal dan seorang daripada suspek merentap beg tangannya.

Berita berkaitan

Dasar penyamun... [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 12:28 PM