Mohd Azam Shah Yaacob

TIDAK menepati syarat dan tujuan kedatangan diragui menyebabkan 20,315 pelawat warga asing diarahkan meninggalkan negara ini serta-merta sebaik tiba di pintu masuk utama negara.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, jumlah itu membabitkan warga asing yang masuk ke negara ini dalam tempoh empat pertama tahun ini.

Katanya, mereka disenaraikan di bawah individu yang ditolak kemasukan atau ‘Not To Land’ (NTL) berikutan gagal mengikuti syarat Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

“Antara syarat jika seseorang itu membuat lawatan di negara ini, mereka perlu mengisytihar hotel tempat menginap serta mengisytihar wang dibawa mencukupi sepanjang datang melawat.

“Selain itu, JIM juga akan memeriksa rekod kedatangan mereka dan melakukan temu bual atau soal siasat.

“Namun, kebanyakan mereka gagal mengemukakan maklumat yang diperlukan JIM ketika masuk ke negara ini,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia hari ini.

Beliau berkata, pelawat asing paling ramai ditolak kemasukan mereka membabitkan warga Indonesia iaitu seramai 9,935 orang diikuti India (2,785) dan China (1,935).

Katanya, selain pelawat dari tiga negara itu, JIM turut menolak kemasukan pelawat dari Nigeria seramai 72 orang, Ghana (empat), Yaman (85) dan Israel seramai 41 orang.

“Pada tahun lalu, seramai 85,946 pelawat asing ditolak kemasukan mereka dan diarah pulang serta-merta kerana maklumat diberikan mereka diragui.

“Tindakan dilakukan sebagai langkah keselamatan awal bagi mengekang kemasukan individu yang dipercayai sebenarnya mempunyai niat lain seperti melakukan jenayah termasuk penipuan di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 5:29 PM