Gambar hiasan
Hidayatul Akmal Ahmad

POLIS menumpaskan dua kumpulan samun yang aktif menjalankan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sekitar Lembah Klang dengan penangkapan tujuh lelaki.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, semua suspek dikesan melalui kamera litar tertutup (CCTV) di premis yang disamun itu.

Menurutnya, kumpulan pertama dikenali sebagai Geng Dinamik ditahan antara 23 hingga 28 Mei di sekitar Gombak.

“Kumpulan ini aktif sejak April lalu dan menjadikan kedai serbaneka 24 jam sebagai sasaran samun serta menggunakan parang untuk menakutkan mangsa.

“Mereka akan menyamun rokok, wang dan telefon bimbit milik pekerja kedai antara jam 12 tengah malam sehingga awal pagi.

“Tiga daripada lima suspek mempunyai rekod jenayah lampau, manakala seorang lagi masih diburu,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Samsor berkata, kumpulan kedua yang ditumpaskan dikenali sebagai Geng Awe turut menggunakan modus operandi yang sama.

“Dua remaja lelaki Geng Awe berusia 17 dan 18 tahun ditahan di Selayang antara 25 hingga 27 Mei lalu, aktif sejak April dan menggunakan parang untuk melakukan samun.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek memiliki rekod dadah dan jenayah lampau,” katanya.

Samsor berkata, sebanyak lima buah motosikal disita manakala lima bilah senjata tajam dan lima buah topi keledar serta seutas rantai emas dirampas daripada kedua-dua kumpulan terbabit.

Katanya, kesemua tujuh suspek direman sehingga 3 Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 6:26 PM