Nurul Hidayah Bahaudin

Gambar: Rosela

SERAMAI 150 pegawai dan anggota trafik ditugaskan bagi mengawal keselamatan lalu lintas termasuk tiga lokasi panas di daerah Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, bagi Operasi Selamat 15 (Op Selamat 15) sempena Aidilfitri bermula 29 Mei hingga 12 Jun ini, keseluruhan kekuatan anggota trafik dikerahkan bagi mengawal keselamatan lalu lintas.

“Seperti sedia maklum, cuti bagi semua pegawai dan anggota trafik dibekukan bagi membolehkan keseluruhan penumpuan penguatkuasaan keselamatan lalu lintas dapat dilakukan termasuk sekatan jalan raya di lokasi panas.

“Di daerah ini, kami mengenal pasti tiga lokasi panas iaitu Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan jalan persekutuan dari Kuala Lumpur ke Seremban,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Op Selamat 15 di Plaza Tol Batu 11, Lebuhraya Cheras-Kajang, hari ini.

Ahmad Dzaffir berkata, lima kematian direkodkan di daerah itu dalam Op Selamat 13.

“Setakat ini, belum ada sebarang kematian membabitkan kemalangan dilaporkan berlaku di daerah ini sepanjang tempoh Op Selamat sejak bermula kelmarin.

“Diharapkan kadar kemalangan dan kematian direkodkan tahun ini akan berkurangan berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menerima 130 borang balik kampung yang dihantar di balai polis di daerah berkenaan.

“Orang ramai yang bakal meninggalkan kediaman mereka di daerah ini untuk pulang ke kampung halaman diminta mengisi borang balik kampung sama ada secara terus di balai polis berhampiran atau melalui aplikasi Sistem Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

“Ia bertujuan bagi membolehkan pihak polis membuat rondaan di kawasan kediaman yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan berlakunya jenayah pecah rumah,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Grand Saga Sdn Bhd Chee Lean Tong berkata, pihaknya menawarkan tawaran diskaun sebanyak 30 peratus bagi kenderaan kelas satu iaitu kereta bagi tempoh 24 jam pada hari raya pertama nanti.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami menawarkan diskaun 30 peratus bagi kenderaan kelas satu yang melalui lebuh raya ini pada hari raya pertama.

“Di awal perayaan Hari Raya Aidilfitri, jumlah kenderaan yang menggunakan lebuh raya ini berkurangan kira-kira 20 peratus berbanding lebih 140,000 kenderaan pada hari biasa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 9:29 PM
AHMAD Dzaffir Mohd Yussof. FOTO Rosela Ismail