TIGA beranak berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dihempap pokok kelapa sawit dalam kejadian ribut di Sungai Kelat, Muar, petang tadi.
Badrul Kamal Zakaria

TIGA beranak berdepan detik cemas apabila kediaman mereka dihempap pokok kelapa sawit dalam kejadian ribut di Sungai Kelat, Muar, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5.30 petang itu bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Mangsa, Norsalimah Arifin, 24, berkata ketika kejadian dia berada di dapur dan bersiap untuk membantu ibunya, Zaleha Idris, 64, memasang langsir dan sarung kusyen di ruang tamu rumah sebagai persediaan Aidilfitri.

“Mungkin Allah nak panjangkan nyawa saya dan keluarga, ketika baharu menaiki tangga ke ruang tamu, saya berpatah untuk mengambil telefon bimbit yang tertinggal di dalam bilik.

“Ketika itu, ibu juga masih di dalam biliknya manakala ayah, Arifin Hussin, 62, sedang bersiap untuk solat asar.

“Kemudian secara tiba-tiba terdengar bunyi hentaman kuat di bahagian ruang tamu disusuli bunyi petir dan angin yang kuat,” katanya.

Norsalimah (kanan) bersama ibu bapanya Arifin Hussin dan Zaleha Idris menunjukkan ruang tamu rumah yang rosak dihempap pokok kelapa sawit akibat ribut di Sungai Kelat, Muar petang tadi. FOTO Badrul Kamal Zakaria

Menurutnya, ibunya yang panik menjerit ketakutan apabila mendapati bahagian hadapan rumah ditimpa pokok kelapa sawit.

Norsalimah berkata, situasi juga menjadi kelam kabut berikutan keadaan ibunya yang panik dan ayah yang mengalami kesesakan nafas berikutan dia juga mempunyai penyakit berkaitan jantung.

“Walaupun bersyukur tiada sebarang perkara buruk kepada keluarga saya, namun perasaan sedih tetap ada terutama menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi ” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Ar Rahmah Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim ketika mengunjungi keluarga mangsa turut menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang dihadapi terutama menjelang Aidilfitri.

“Kita membantu bagi meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana yang tidak diduga ini. Kita sedar, sumbangan bantuan awal ini tidak mampu menyelesaikan masalah secara keseluruhan tetapi ia dapat membantu mereka terutama menjelang Aidilfitri ini.

“Kita juga bersimpati dengan kejadian ini dan berharap mereka dapat menerima takdir ini dengan tabah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 12:06 AM