GAMBAR hiasan
Noorazura Abdul Rahman


KIRA-KIRA 400 kanak-kanak terpaksa dilindungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah setiap tahun selepas dikesan diabaikan ibu bapa atau penjaga, didera atau terbabit dengan jenayah.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan negeri, Halimaton Shaadiah Saad berkata, jumlah itu sangat membimbangkan berikutan ia menunjukkan institusi kekeluargaan yang semakin rapuh dengan desakan hidup masa kini.

“Apabila pihak saya dan JKM turun padang dan siasat, kita dapati banyak kes penderaan contohnya semasa lawatan saya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) baru-baru ini, ada dua tiga kes kanak-kanak didera, perkara ini sangat serius.

“Jika didapati ibu bapa itu bermasalah terbabit dengan dadah dan sebagainya, JKM boleh mengambil alih hak penjagaan kanak-kanak ini mengikut Akta Kanak-Kanak, namun jika ada waris sama ada nenek atau keluarga terdekat mampu jaga mereka, maka kita akan serahkan kepada keluarga ini dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kes kanak-kanak lelaki berusia dua tahun meninggal dunia dipercayai didera bapa tirinya di Guar Chempedak, Yan, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, hasil ujian air kencing bapa tiri dan ibu kandung mangsa berusia 28 dan 23 tahun turut positif dadah jenis methamphetamine.

Mengulas lanjut, Halimaton berkata, selain ibu bapa atau penjaga hilang kelayakan akibat mendera dan terbabit dengan dadah, mereka juga boleh kehilangan hak itu apabila gagal menyediakan tempat tinggal yang sepatutnya untuk anak.

Katanya, ini berikutan terdapat kes apabila JKM menemui kanak-kanak yang tidur tepi jalan atau kaki lima termasuklah berlakunya sumbang mahram.

“Ada ibu bapa yang tak mampu sediakan bilik untuk anak-anak menyebabkan berlaku sumbang mahram, malah ada ibu bapa yang keluar bekerja dan meninggalkan anak-anak ini begitu saja termasuklah anak orang kurang upaya (OKU).

“Dalam masa yang sama kita juga ada kes kedua ibu bapa baik tetapi anak pula yang terbabit jenayah seperti mencuri dan sebagainya, asalkan mereka berusia 18 tahun ke bawah, kita akan letakkan mereka dibawah jagaan JKM,” katanya.

Oleh itu, Halimaton berkata, pihaknya memerlukan kerjasama masyarakat terutama jiran serta saudara mara terdekat untuk melaporkan kejadian seumpama itu supaya kanak-kanak ini dapat dilindungi dan dijaga dengan baik.

Dalam kejadian Sabtu lalu, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul ditemui meninggal dunia dipercayai didera dengan mengalami kecederaan dalaman dan dipukul objek tumpul oleh bapa tiri mangsa.

Kanak-kanak malang itu ditemui terbaring di atas lantai bahagian dapur rumahnya di Batu 19 ¾ Jalan Yan, Guar Chempedak, Yan dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Terdahulu, Halimaton ditemui di selepas Majlis Iftar dan sumbangan kepada 207 anak-anak yatim dan OKU dan pelajar tahfiz di Dewan Seri Mentaloon, di Alor Setar, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 9:31 AM