LAMPU berwarna-warni dipasang di Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebagai persiapan sebelum dibuka kepada orang ramai untuk tempoh percubaan dari 2 hingga 17 Jun sempena Aidilfitri ini. FOTO Ghazali Kori
Mohd Aizat Shamsuddin


PEJALAN kaki dan pengguna tidak dibenarkan untuk bersiar di sepanjang laluan Jambatan Angkat Kuala Terengganu apabila ia mula dibuka untuk tempoh percubaan bermula 7 pagi esok.

Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Rosli Latif, berkata orang ramai tidak dibenarkan untuk berbuat demikin disebabkan faktor keselamatan.

“Segala jenis kenderaan beroda termasuk kereta dan motosikal dibenarkan melalui laluan ini. Namun mana-mana kenderaan tidak dibenarkan berhenti dan pengguna jalan raya tidak dibenarkan keluar bersiar-siar di sepanjang drawbridge.

“Pejalan kaki tidak dibenarkan menggunakan laluan ini atas faktor keselamatan. Pengunjung yang ingin mengambil gambar boleh melakukannya dari aras tanah di sekeliling jambatan dan bukannya dari aras jambatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Rosli berkata, pembukaan jambatan angkat ini juga akan memberi manfaat kepada pekerja pejabat yang masih bekerja sebelum cuti perayaan.

“Dalam masa yang sama, operasi pengendalian dan keselamatan laluan akanlebih dapat dipercekapkan di waktu sianghari sebagai permulaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 9:26 PM