WARGA Thailand dituduh memberi rasuah kepada PGA. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


WARGA Thailand masih mampu tersenyum selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini atas tuduhan memberi rasuah kepada Pasukan Gerakan Am (PGA), bulan lalu.

Tertuduh Faramis Yahkoh, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zaman Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan kepada RM1,600 kepada anggota dari Batalion 9 PGA, Kubang Badak, Terengganu, Koperal Mohd Nazri Mohd Nadzri sebagai dorongan melepaskan diri daripada ditangkap terhadap kesalahan tidak memiliki pasport dan ketulan kristal disyaki syabu seberat 3.4 gram.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Taman Chempaka, Jalan Lubok, Tanah Merah jam 2 pagi, 17 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Adha Amir Yasser Amri tidak menawarkan jaminan berikutan tertuduh warga Thailand.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak mengemukakan rayuan.

Mahkamah menetapkan 2 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga Thailand berusia 30-an bersama tiga lagi rakannya ditahan dalam serbuan PGA.

Bagaimanapun suspek menyogok anggota untuk mengelakkan daripada ditahan.

Anggota PGA menolak sogokan itu dan terus menahan suspek untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 10:24 AM