MANGSA maut di tempat kejadian. FOTO Ihsan PDRM
Norizuan Shamsuddin


LELAKI maut apabila motosikal ditunggang bergesel dengan kereta sebelum dilanggar di Kilometer 426.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Hulu Selangor, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, mangsa, Ahmad Sulaiman Jamin, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Lim Bak Phai berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kemalangan berlaku sewaktu mangsa menunggang motosikal model Yamaha LC135 dari Kuala Lumpur ke Kedah.

“Apabila tiba di lokasi, motosikal mangsa dipercayai bergesel dengan sebuah kereta dan terjatuh di lorong tengah.

“Kejadian menyebabkan mangsa dilanggar oleh beberapa kenderaan yang datang dari arah belakang dan disahkan meninggal dunia dilokasi.

“Bagaimanapun, kenderaan yang melanggar mangsa belum dikenal pasti dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengenalpasti serta mengesan kenderaan berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 11:28 AM