(DARI kanan) Che Muhamad Aiman Haikal Che Abdullah, 12; Che Muhamad Aiman Hafiz, 10 dan Che Nuralisa Shahira, 8, mencari barang yang masih elok. FOTO Fathil Asri
Hazira Ahmad Zaidi

“BIARPUN masih berpantang, saya tetap menggagahkan diri mendukung anak bongsu berusia 33 hari lari menyelamatkan diri bersama enam lagi anak selepas melihat kepulan asap di dalam rumah,” kata Noor Afiza Yusof, 40, mangsa kebakaran di Pengkalan Nangka, semalam.

Noor Afiza berkata, ketika kejadian dia dan suaminya, Che Abdullah Che Su, 54 bersama enam anak berada di ruang dapur untuk menunggu waktu berbuka puasa.

Katanya, secara tiba-tiba, dia mendengar anak bongsunya Nor Aira Qairina yang berada sendirian di ruang tamu merengek.

“Saya kemudian mengambil anak dan membawanya ke dapur sebelum ternampak kepulan asap tebal di dalam rumah.

“Kami berlari menyelamatkan diri melalui pintu di bahagian dapur.

“Suami kemudian masuk semula ke dalam rumah dan terkejut melihat sebahagian dinding bilik tidur seorang anak kami sudah terbakar,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Nangka, Kota Bharu, hari ini.


NOOR Afiza bersama anak-anak di hadapan rumahnya yang terbakar. FOTO Fathil Asri

Dalam kejadian jam 7.20 malam itu, sebuah rumah kediaman separuh kekal hangus terbakar.

Turut musnah, kereta Proton Waja dan Nissan Sentra serta sebuah motor Yamaha Lagenda.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Noor Afiza berkata, kebakaran itu turut mengakibatkan barang kemas dan wang untuk persiapan membeli persiapan Aidilfitri hangus.

“Wang yang disimpan di dalam rumah dan kereta Proton Waja yang terbakar dianggarkan berjumlah RM4,000 tidak dapat diselamatkan.

“Saya menganggap ini ujian Allah untuk kami sekeluarga apatah lagi hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri,” katanya yang kini menumpang di rumah kakaknya di Pantai Cahaya Bulan (PCB).

Sementara itu, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, Samsuddin Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 7.26 malam sebelum 17 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba kami mendapati sebuah rumah kediaman separuh kekal sudah 90 peratus hangus terbakar termasuk dua kereta iaitu Proton Waja dan Nissan Sentra.

“Api berjaya dikawal pada jam 7.35 malam dan kerja pemadaman tamat pada jam 8.10 malam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 1:57 PM