LEE dan Chong dibawa ke Makamah Majistret Johor Bahru. FOTO Izlaily Nurul Ain Hussein
Izlaily Nurul Ain Hussein


DUA individu bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru, hari ini atas 27 pertuduhan memalsukan 27 borang tarik balik kaveat persendirian bagi 27 lot hartanah, empat tahun lalu.

Datuk Lee Ban Heng, 51, yang juga Komandan Sukarelawan Simpanan Polis Diraja Malaysia (SSPDRM) Negeri Johor dan Datuk Chong Chee Heng, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan itu di hadapan Majistret Rasidah Baharom.

Bagi semua pertuduhan, Lee dan Chong didakwa bersama-sama memalsukan dokumen berkenaan bagi 27 lot hartanah di Mukim Plentong.

Ia dilakukan melalui penama, Danny Loo Kheng Soon yang digunakan sebagai tulen kepada Pembantu Tadbir di Kaunter Tingkat 1, Pejabat Pendaftaran Hakmilik, Pejabat Tanah dan Galian Negeri Johor, Bangunan Dato’ Mohamad Salleh Perang, Kota Iskandar, Iskandar Puteri.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 30 September 2015 dan kedua-dua tertuduh mengetahui dokumen berkenaan adalah palsu, namun menggunakannya bagi tujuan supaya sekatan kepentingan ke atas tanah terbabit dilepaskan.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, Danny Loo, 36, yang juga seorang peguam, mengaku tidak bersalah bagi 27 pertuduhan bersubahat dengan Lee dan Chong, bagi melakukan perbuatan terbabit.

Dia yang juga Pengerusi Komuniti Hak Asasi Manusia Negeri Johor didakwa melakukan perbuatan itu di tempat serta masa yang sama dan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama.

Bagi setiap pertuduhan itu, dia berdepan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya M Pusppa tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh, namun mencadangkan jumlah RM80,000 bagi setiap satu pertuduhan untuk seorang tertuduh, sekiranya mahkamah membenarkan ikat jamin.

Pendakwaan turut dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Nabihah Muhamad Dan, manakala peguam Omar Kutty Abdul Aziz mewakili ketiga-tiga tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM38,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah dan mereka hendaklah melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 17 Jun ini untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 4:05 PM