GAMBAR hiasan
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


IBU tunggal tidak sempat membeli barang persiapan Aidilfitri apabila maut selepas motosikal dinaiki bersama anak perempuannya merempuh babi hutan di Kilometer 17, Jalan Mak Lagam-Bandar Cheneh Baru, Bukit Jemalang di Chukai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, Roslina Mohamad, 42, yang berasal dari Felda Neram 2, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan anggota badan.

Anaknya, Khairunnisa Radin, 21, yang membonceng motosikal terbabit dilaporkan cedera dan dikejarkan ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dan anaknya itu dalam perjalanan dari rumahnya ke Bandar Chukai untuk membeli barang persiapan Aidilfitri.

Katanya, ketika menuruni bukit di lokasi kejadian, mangsa dikatakan gagal mengelak seekor babi hutan yang secara tiba-tiba keluar dari semak di situ.

“Mangsa gagal mengelak lalu merempuh babi hutan terbabit, menyebabkan dua beranak itu tercampak di atas jalan.

“Mangsa yang parah di bahagian kepala dan badan meninggal serta-merta di tempat kejadian, manakala anaknya dikejarkan ke Hospital Kemaman,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Bilik Forensik Hospital sama untuk tindakan lanjut.

“Jenazah mangsa sudahpun dituntut ahli keluarganya untuk dibawa pulang dan dikebumikan di kampung asalnya.

“Ketika kejadian, keadaan jalan lurus manakala cuaca agak baik dan lokasi kejadian adalah berhampiran dengan kawasan semak serta hutan simpan kekal,” katanya.

Mohd Said berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:23 AM