CHE Norhidayah bersama Muhammad Naim. FOTO Rozainah Zakaria
Ahmad Rabiul Zulkifli


“SAYA tak kisah bawa Naim beraya bersama walaupun terpaksa mendukungnya kerana tidak mahu dia berasa tersisih daripada masyarakat,” kata Che Norhidayah Che Mamat, 31, ibu kepada Muhammad Naim Mohd Nazri, 8, penghidap Cerebral Palsy (CP) sejak lahir.

Che Norhidayah berkata, dia menguruskan anak istimewanya itu bersendirian sejak lahir dan tidak pernah meninggalkannya sendiri di rumah.

“Sekarang Naim sudah berusia lapan tahun dan saya tidak pernah meninggalkannya sendiri di rumah, jika pergi beraya ke rumah saudara atau kenalan, saya akan membawanya bersama.

“Dulu Naim ringan dan mudah dibawa tetapi sekarang lebih mencabar kerana berat dan saiz badan Naim semakin bertambah,” katanya.

Che Norhidayah berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa Syarikat Air Terengganu (SATU) bersama Persatuan Sokongan Ibu dan Anak Kurang Upaya Terlantar Azwar Terengganu (PSIAKUT AZWAR TRG) di Duyong Marina & Resort di Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Che Norhidayah, Naim yang kini beratnya mencecah 32 kilogram tidak suka dibawa menggunakan kerusi roda, jadi dia terpaksa mendukungnya.

“Malah, ramai juga yang bertanya sampai bila saya mampu mendukung Naim kerana beratnya pasti bertambah namun saya tidak mahu memikirkannya lagi.

“Selagi terdaya, saya tidak akan meninggalkannya,” katanya.

Katanya, dia tidak pernah menganggap anaknya itu sebagai beban, malah dia gembira dapat menguruskan anak istimewa itu.

“Hidup saya hanya untuk Naim, sudah banyak pengorbanan yang saya lakukan semata-mata untuk menjaga Naim, termasuk berhenti kerja sebagai penjawat awam.

“Semua pengorbanan itu berbaloi kerana dapat melihat anak membesar di hadapan mata selain menguruskannya sebaik mungkin,” katanya yang mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi PSIAKUT AZWAR TRG Shaarah Othman berkata, ibu bapa yang mempunyai anak istimewa perlu membawa anak mereka bergaul dengan masyarakat, terutama pada Aidilfitri dan Aidiladha.

“Tidak wajar ibu bapa meninggalkan anak istimewa mereka di rumah sedangkan mereka pergi beraya di rumah sanak saudara.

“Jangan menyisihkan anak istimewa ini dengan masyarakat, dedahkan mereka dengan dunia luar supaya proses perkembangan mereka tidak terbantut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 1:35 PM