ZURAIDA bersama ‘Disabled Activist Group’ di Putrajaya. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Siti A’isyah Sukaimi


TIDAK ada isu ketidaksamaan pendirian saksi berhubung inkues Muhammad Adib Mohd Kassim, susulan penarikan diri peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada prosiding itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ini kerana ia seharusnya berlandaskan kepada maklumat saksi yang didengari semasa prosiding itu berlangsung.

“Dalam kes inkues, ia bukan perbicaraan tetapi untuk mencari kebenaran. Saksi yang mahu dibawa semua sudah didengari dan tidak jadi satu isu kerana memang dalam undang-undang, itulah prosedurnya dan saya juga ikut.

“Saya tidak lihat ada konflik atau ada isu ketidaksamaan mengenai pendirian kerana ia harus berlandaskan maklumat saksi, doktor dan semua yang terbabit sebagai saksi.

“Koroner akan bersandarkan kepada mereka,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan aktivis orang kurang upaya (OKU) di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada saksi bagi prosiding inkues itu dipanggil semula selepas Timbalan Pendakwa Raya yang baharu dilantik.

Pada 27 Mei lalu, Syazlin iaitu peguam mewakili KPKT, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan keluarga anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib menarik diri daripada prosiding inkues berkenaan.

Dalam pada itu, Zuraida berkata, beliau sudah bertemu dengan Peguam Negara, Tommy Thomas Sabtu lalu bagi membincangkan inkues berkenaan.

“Jadi cara yang betul ialah KPKT melantik seorang peguam dari Jabatan Peguam Negara di peringkat Timbalan Pendakwa Raya.

“Saya minta mereka mencadangkan dua atau tiga nama dan saya akan buat pilihan. Inkues ini akan bersambung pada 26 Jun jadi masih ada masa lagi.

“Ketika ini, mereka belum menghantar nama kepada saya dan apabila sudah dapat senarai nama itu, saya akan lihat dan buat keputusan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya meminta supaya perkara yang dibawa oleh Syazlin sebelum ini tidak boleh diketepikan.

“Harus diambil 100 peratus dan bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof Dr Shahrom Abd Wahid juga harus diambil 100 peratus.

“Jadi dari segi maklumat keterangan tiada perubahan,” katanya.

Lagi berita berkaitan Allahyarham Muhammad Adib

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 2:23 PM