PENGUAT KUASA DBKL mengarahkan peniaga tapak pasar malam menutup perniagaan. FOTO Rohanis Shukri
Ekhwan Haque Fazlul Haque


KIRA-KIRA 400 peniaga di sepanjang Lorong Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) yang diarahkan menurunkan khemah

masing-masing semalam dilakukan hasil perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Pengarah Jabatan Perancangan Korporat DBKL, Norhaslinda Nordin berkata, tindakan itu berdasarkan keputusan dibuat sebelum ini apabila Bazar Ramadan 2019 dipindahkan ke Jalan Raja.

Menurutnya, DBKL mendapati 400 khemah pasar malam Lorong TAR dari persimpangan Jalan Melayu hingga Bangunan Campbell tidak diturunkan sehingga pagi semalam walaupun waktu beroperasi pada lewat malam Sabtu lalu sudah berakhir.

“DBKL kemudian mengadakan perbincangan dengan peniaga bahawa tiada peniaga Bazar Ramadan yang dibenarkan beroperasi di Lorong TAR selain pasar malam setiap Sabtu.

“Selepas rundingan dilakukan dan mencapai kata sepakat, akhirnya semua khemah diturunkan anggota penguat kuasa DBKL dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Peniaga tidak dibenarkan berniaga di lokasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, lokasi berkenaan dikosongkan peniaga jam 3.30 petang dan tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang proses berkenaan dijalankan.

Beliau berkata, tiada sebarang aktiviti perniagaan dibenarkan untuk dijalankan di Lorong TAR bagi memberi keadilan kepada peniaga Bazar Ramadan di Jalan Raja sejak awal Ramadan lalu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 4:05 PM