Dziyaul Afnan Abdul Rahman


MANGSA kebakaran yang juga tiga beradik wanita warga emas orang kurang upaya (OKU) penglihatan dari Kampung Titi Besi, di sini, enggan menyusahkan saudara mereka walaupun kini tinggal sehelai sepinggang selepas segala persiapan Aidilfitri musnah.

Khalijah Ibrahim, 98, berkata, pada hujung usia itu biarlah mereka bertiga saling berpaut antara satu sama lain walaupun diuji dalam apa keadaan sekalipun.

“Sudah 10 tahun kami hidup bersama dan kami tidak pernah berkahwin, sebelum itu kami berenam dan semuanya tidak mampu melihat.

“Selepas seorang demi seorang meninggal dunia, hanya tinggal kami bertiga di rumah pusaka itu.

“Tak mahu susahkan anak saudara, biar kami saling menjaga antara satu sama lain,” katanya di rumah sementara didiami mereka bertiga di kampung itu, semalam.

Adiknya Che Manai, 73, berkata mereka bersyukur kerana tidak putus menerima bantuan daripada pelbagai pihak sejak malam kelmarin selepas ditimpa musibah itu.

“Alhamdulillah, depa (mereka) bagi barangan keperluan termasuk baju kurung untuk Aidilfitri nanti.

“Tak apa tahun ini kami beraya dengan apa yang ada saja, sekurang-kurangnya kami tiga beradik masih bersama,” katanya.

Katanya, dalam usia sebegini dia tidak mengharapkan wang ringgit melainkan kasih sayang yang utuh dan terikat antara mereka bertiga.

Terdahulu, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli melawat dan menyampaikan sumbangan RM1,800 kepada tiga beradik terbabit.

Baginda berdua tiba jam 2 petang dan berkenan meluangkan masa beramah mesra selama satu jam di rumah mereka.

Hadir sama EXCO Agama Perlis, Ruzaini Rais dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 7:00 AM
Tuanku Syed Faizuddin (kiri) mengunjungi rumah mangsa, semalam.