SURIA membantu bersihkan ibunya, Fatimah yang menghidap penyakit gout ditemani Semah (kanan). FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


PERNAH diminta doktor supaya membuat rawatan dialisis, namun warga emas dari Kampung Tendong di Pasir Mas ini enggan dan sanggup menanggung risiko, termasuk berdepan ajal.

Keengganan Fatimah Ali, 80, bukan tanpa alasan sebaliknya disebabkan kekangan kewangan kerana proses dialisis perlu dibuat tiga kali seminggu.

Fatimah berkata, sekali menerima proses dialisis termasuk rawatan, dia perlu mengeluarkan RM80 dan secara puratanya untuk sebulan, dia perlu memperuntukkan hampir RM1,000.

“Mana la mak cik ada duit. Biarlah... lagipun mak cik pun dah nak mati (tua).

“Sekarang ini hanya mengambil penawar tradisional dan alternatif, termasuk minum air rebusan beras barli dan alhamdulillah agak berkesan,” katanya ketika ditemui di rumahnya.


PUI (kanan) menyampaikan sumbangan keperluan harian kepada Suria. FOTO Nik Abdullah Nik Omar

Fatimah yang baru beberapa tahun menjalani rawatan pembedahan jantung juga menghidap penyakit gout dan turut mengambil ubat tahan sakit jika kesakitan menyerang.

Katanya, dia tidak menerima sebarang bantuan termasuk dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya bergantung kepada anaknya, Aziz Mamat, 60, yang tinggal bersama.

Selain Fatimah, besannya, Semah Salleh, 82, yang sudah uzur dan hanya terlantar turut tinggal bersama dan mereka diuruskan oleh isteri Aziz yang juga anak perempuan Semah, Suria Idris, 54.

Sementara itu, Suria berkata, walaupun ibunya terlantar disebabkan sakit tua, dia tetap berpuasa dan sehingga kini masih belum ponteng puasa.

“Walaupun saya memberitahunya agar berbuka jika tidak larat, emak tetap berpuasa sehingga tiba waktu berbuka.

“Saya tidak menganggap tugas menjaga dan menguruskan emak serta mentua sebagai beban tapi ia adalah satu tanggungjawab untuk saya dan suami sebagai anak,” katanya.

Terdahulu mereka menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) yang hadir menyumbangkan susu khas dan lampin pakai buang untuk kegunaan Semah.

Presidennya, Pui Tiong Lam, berkata bantuan itu akan diberikan secara bulanan dan beliau juga akan cuba merujuk kepada pihak berwajib untuk mendapatkan bantuan kewangan kepada dua warga emas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 11:09 AM