AKSI samseng jalanan yang hentak cermin dengan parang. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Sabran Md Sani


“TINDAKAN suspek adalah buli jalanan,” kata Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd mengulas mengenai tular video berdurasi pendek membabitkan dua lelaki bertindak agresif dalam kejadian di Lebuhraya Pasir Gudang, Johor Bahru, semalam.

Video berdurasi satu minit 23 saat itu menunjukkan dua lelaki keluar daripada kereta beberapa kali menunjukkan isyarat lucah kepada seorang pengguna jalan raya sebelum seorang daripadanya menghentak cermin hadapan kenderaan dengan parang.

Mengulas lanjut insiden itu katanya, Polis Johor kini sedang giat memburu dua samseng jalan raya yang bertindak mengugut pengguna jalan raya itu menggunakan parang.

Katanya, siasatan berhubung kejadian itu sedang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) berdasarkan laporan dibuat mangsa.

“Mangsa sendiri (pemilik kereta yang cerminnya dihentak dengan parang) membuat laporan polis semalam.

“Kita ambil maklum berhubung kejadian itu dan polis JBS sedang menjalankan siasatan kerana tindakan suspek adalah buli jalanan.

“Kita yakin akan dapat mengesan suspek dalam masa terdekat,” katanya ketika ditemui ketika mengadakan lawatan dan tinjauan ke Larkin Sentral, hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berlaku akibat rasa tidak berpuas hati suspek yang tidak diberi ruang untuk memotong dalam keadaan jalan sesak.

Pemerhatian terhadap tular video dirakamkan pada jam 5.53 petang memperlihatkan kenderaan bernombor pendaftaran dari Pahang itu mencelah sebuah kenderaan berhampirannya.

Dua lelaki dilihat keluar dari kenderaan itu dan masing-masing menunjukkan isyarat lucah ke arah pemilik kenderaan di belakangnya.

Kenderaan itu kemudian diundurkan sedikit ke belakang sebelum ia bergerak ke hadapan sebelum pemandunya sekali lagi berhenti dan mengeluarkan sebilah parang serta menetak cermin hadapan kenderaan di belakangnya.

Di akhir babak video itu memperlihatkan lelaki itu memberhentikan sekali lagi kenderaannya sebelum video pendek itu tamat.

Dalam perkembangan lain, Mohd Khalil mengingatkan orang ramai supaya tidak terjerat dengan pinjaman wang tanpa lesen semata-mata untuk menyambut perayaan Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 1:47 PM