LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 27.7 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini. FOTO ihsan polis.
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 27.7 Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara berhampiran Plaza Tol Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam kejadian 3.40 petang itu, mangsa, Mohd Aziem Razali, 27, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, kemalangan itu berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal Yamaha LC135 bersendirian dari arah plaza tol terbabit menghala ke utara.

“Sebaik tiba di lokasi, motosikal mangsa yang berada di lorong kiri hilang kawalan lalu merempuh besi penghadang di sebelah kiri.

“Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke bahu jalan dan cedera di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Kejadian itu menyebabkan motosikal mangsa tercampak kira-kira 60 meter dari lokasi lelaki itu terjatuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 6:33 PM