Mohd Hilmie Hussin


“Dalam kehidupan ini, kita hanya perlukan satu kesilapan besar yang akan membuatkan kita kesal dan saya menyesalinya.”

Itulah kenyataan banduan di Penjara Dusun Dato’ Murad, Ayer Keroh berhubung hukuman penjara 13 tahun dua bulan dan enam sebatan, yang diterimanya, akibat melakukan kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan, kerana sengaja menyebabkan cedera ketika melakukan rompakan.

Penyesalan tidak terbatas dirasai Bade, 55, (bukan nama sebenar) ketika ini, terutamanya apabila hubungan rapat dengan ahli keluarga besarnya terputus terus di sebalik tembok penjara.

Dia yang tidak pernah berjauhan daripada keluarga mengakui selama 13 tahun di penjara, rasa rindu kepada ibu, adik beradik dan anak saudara tidak pernah dapat dirungkai.

“Saya berasa kosong sangat apabila jauh dari keluarga. Saya suka pada kanak-kanak dalam keluarga besar saya. Apabila dipenjarakan, semua itu hilang sekelip mata... rindu tak payah cakaplah, terlampau rindu.

“Saban hari jika ada peluang untuk berhubung, saya akan berhubung dengan ahli keluarga baik melalui pegawai penjara, dengan meminta menghubungi keluarga untuk mengunjungi saya di sini,” katanya, ditemui di Penjara Dusun Dato’ Murad pada program Pelepasan Banduan Secara Berlesen (PBSL).

Menurutnya, walau dikunjungi ahli keluarga sekalipun, rindu yang bersarang dalam dirinya itu bagai tidak mampu dilepaskan berikutan pertemuan yang terhad, di sebalik tembok kaca sahaja.

Katanya, meskipun baru lima bertemu ahli keluarganya, rindu itu tidak hilang, tidak puas dan kebebasan yang selama ini dinikmati rasa terhukum dan terlindung di sebalik tembok, jaring dan kawalan paga-pagar besi.

Dia yang belum berkahwin, dipenjarakan pada usia 43 tahun, bermula di Penjara Kajang pada 2006 sebelum dipindahkan ke Penjara Sungai Udang pada 2015 dan ke Penjara Dusun Dato’ Murad dua tahun lalu.

Kini, Bade hanya perlu menunggu dibebaskan daripada hukuman penjara ke atasnya tamat kira-kira dua bulan lagi.

Sambil mengakui insaf atas kekhilafan lalu, Bade berkata, melihat sendiri kehidupan di penjara, mendengar sendiri pengalaman penghuni yang melakukan pelbagai kesalahan membuatkannya insaf.

Pelbagai program kerohanian di penjara juga mematangkannya terutamanya apabila setiap penghuni diberi peluang menggalas tanggungjawab.

“Sebab itu, peluang cuti hari raya selama tujuh hari bermula hari ini, saya tidak dapat gambarkan kegembiraan saya kerana inilah kali pertama saya dapat melihat dunia luar semula dan dapat bersama-sama ahli keluarga.

“Saya tahu untuk mendapat peluang ini tidak mudah kerana pelbagai lapisan temubual harus saya harungi dan saya akakn gunakan kesempatan ini bersama-sama keluarga. Pandangan masyarakat, saya tolak tepi kerana saya sahaja yang tahu diri saya dan saya tak boleh tutup mulut orang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Penolong Komisioner Penjara Dusun Dato’ Murad Zamzuri Ghani berkata, Bade adalah banduan pertama di penjara itu mendapat PBSL.

“Sebelum ini tidak pernah ada banduan di sini diberli pelepasan berlesen, namun Bade mendapat keistimewaan selepas didapati layak mendapat pelepasan daripada Ketua Pengarah Penjara Malaysia selepas didapati berkelakuan baik dan mengikuti program pemulihan dengan jayanya sepanjang tempoh pemenjaraan. Dia akan kembali ke penjara ini Isinin depan,” katanya.

Beliau berakta, terdapat 300 banduan menghuni penjara terbabit dan hanya tujuh di peringkat khas.

Katanya, Bade sendiri, terpaksa melalui pelbagai lapisan temu bual baik dari segi sikap, agama, kaunseling, psikologi dan ada pra syarat termasuk faktor penerimaan keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:45 PM
BADE (bukan nama sebenar) diiringi keluar dari penjara pada program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) di Penjara Dusun Dato' Murad, Ayer Keroh. FOTO Rasul Azli Samad