KETUA Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr Ismail Bakar menyerahkan watikah pelantikan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, Latheefa Beebi Koya di Putrajaya. FOTO ihsan SPRM
BERNAMA

LATHEEFA Beebi Koya yang baru dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata beliau keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) semalam, berkuatkuasa serta merta.

“Terima kasih atas nasihat. Tetapi saya telah menghantar surat peletakan jawatan berkuatkuasa serta merta sebagai anggota biasa PKR sebaik dimaklumkan mengenai pelantikan saya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM,” katanya menerusi catatan dalam Twitter, hari ini.

Latheefa meninggalkan PKR selepas pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, beliau perlu mengikut jejak langkah Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof untuk mengelakkan tanggapan memihak kerana ketua SPRM mestilah bebas daripada politik.

Sementara itu, penasihat Lawyers for Liberty (LFL) N Surendran berkata peguam hak asasi manusia, Melissa Sasidaran dilantik sebagai pengarah eksekutif LFL yang baharu berikutan pengunduran Latheefa dari LFL untuk mengisi jawatan baharu itu.

Beliau berkata, Melissa adalah penyelaras undang-undang dan kempen di LFL.

Beliau diterima masuk ke Badan Peguam Malaysia pada 2010 dan memperoleh LLM dalam Human Rights, Conflict and Justice dari SOAS University of London pada 2018, kata beliau.

Beliau mewakili banyak ahli politik/aktivis masyarakat sivil dan pembangkang dalam kes-kes penangkapan, prosiding reman dan kes jenayah di mahkamah, terutama di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA), Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata beliau.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pelantikan Latheefa sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkuatkuasa 1 Jun.

Beliau mengambil alih daripada Datuk Seri Mohd Shukri Abdull yang memohon untuk memendekkan kontrak perkhidmatan yang sepatutnya berakhir pada 17 Mei tahun depan.

Berita berkaitan:

  • Latheefa Koya KP SPRM baharu
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 9:08 PM