ANGGOTA bomba memeriksa kesan kebakaran di PPR Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, malam ini. FOTO ihsan bomba.
Nurul Hidayah Bahaudin


LELAKI melecur pada tangan dan mengalami sesak nafas akibat terperangkap selepas rumahnya yang terbakar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Kuala Lumpur, malam ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu 8.08 malam.

“Seramai 22 anggota bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setapak, BBP Keramat dan BBP Jalan Tun Razak dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kami mendapati api sedang marak dan dimaklumkan ada penghuni rumah berkenaan yang terperangkap.

“Mangsa, M Noor Hisham Mohammad Peral, 41, ditemui terperangkap di dalam sebuah bilik di rumah berkenaan sebelum berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kebakaran kediaman itu membabitkan sebuah bilik tidur yang kemudian merebak ke bahagian ruang tamu.

Katanya, kejadian itu menyebabkan mangsa melecur pada tangan kanan selain sesak nafas akibat terhidu asap tebal.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.

“Operasi pemadaman tamat pada 9.32 malam. Jumlah kerugian serta punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 10:49 PM