Laporan portal berita Harian Metro semalam
Siti A’isyah Sukaimi


KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya adalah seorang yang suka berterus terang selain bercakap benar.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau sendiri yang memilih Latheefa bagi jawatan berkenaan kerana ketegasan karektor pada diri wanita terbabit.

“Saya (yang buat keputusan melantik Latheefa). Beliau sangat tegas, berterus terang dan bercakap benar jadi, kita memerlukan seseorang yang mempunyai karektor tegas.

“Justeru, beliau menjadi ketua dan akan selidik semua kes rasuah.

“Rasuah ini sudah tentu perkara utama termasuk yang lain seperti, jika beliau menemui sesuatu menyalahi undang-undang, beliau akan siasat dan laporkan,” katanya pada sidang media Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri 2019 di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada pelantikan Latheefa dibincangkan bersama Kabinet, Dr Mahathir berkata, perkara berkenaan tidak dibincangkan ke Kabinet.

“Saya tidak berbincang dengan Kabinet. Kebiasaannya, saya membuat keputusan sendiri kerana saya tidak bertanya kepada Kabinet siapa yang saya lulus.

“Saya mendengar banyak pandangan dan kemudian saya buat keputusan. Anda perlu mendengar pandangan semua pihak, membuat penilaian dan anda luluskan siapa saja yang anda mahu luluskan. Saya lakukan perkara ini untuk tempoh lama,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, jika perkara itu diputuskan ke Kabinet, ia akan ‘mengikat’ beliau.

“Saya tak payah (bincang) ke Kabinet. Saya tanya orang lain yang mempunyai pengetahuan mengenai karektor orang ini dan tak perlu Kabinet buat keputusan.

“Jika Kabinet buat keputusan, ia ‘mengikat’ saya. Jadi saya bebas untuk menilai sesiapa yang dicadang dan saya pilih,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelantikan Latheefa juga tidak bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

“Beliau sudah meletakkan jawatan (ahli PKR). Kita tidak boleh menghukum ahli kita, ketika kita cuba untuk menang dalam pilihan raya lalu, orang ini yang bekerja keras supaya kita menang.

“Bagaimanapun, manifesto kita menyatakan orang yang bekerja untuk kita tidak boleh memegang sebarang jawatan, jadi ini tidak adil. Sudah tentu kita tidak menjadikan mereka ketua jabatan di syarikat.

“Mereka boleh menjadi ahli lembaga tetapi sudah tentu dalam kes tertentu jika mereka mempunyai kualiti sepatutnya, kita akan lantik walaupun dalam politik,” katanya.

Menerusi kenyataan Pejabat Perdana Menteri semalam, Latheefa yang juga Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu untuk tempoh kontrak dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd Shukri Abdull.

Selaras dengan subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009 (Akta 694), Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau lebih awal sebelum kontrak berakhir pada 17 Mei 2020 sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, Mohd Shukri memohon untuk meletakkan jawatan sejak tahun lalu.

“Beliau minta nak berhenti. Beliau bertanya kepada saya sejak tahun lalu untuk meletakkan jawatan dan saya mengambil masa untuk mencari pengganti. Beliau kata, sudah terlalu lama di tempat itu,” katanya.

Berita berkaitan

Latheefa keluar PKR

Latheefa Koya KP SPRM baharu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 4:03 PM