Ahmad Hasbullah (barisan tengah dua, kiri) bergambar bersama anggota Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan seluruh warga Markas 2 Briged di Kem Sri Banding. FOTO Bernama
Ahmad Hasbullah (barisan tengah dua, kiri) bergambar bersama anggota Batalion Ke-2 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dan seluruh warga Markas 2 Briged di Kem Sri Banding. FOTO Bernama
BERNAMA

KERTAS Putih pertahanan yang bakal dibentangkan di Parlimen Oktober ini antaranya akan membincangkan semula peranan sebenar Tentera Darat Malaysia (TDM).

Panglima Tentera Darat Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi berkata, ia bagi mengelakkan tentera tidak terlatih terbabit dalam aktiviti pembanterasan jenayah.

Beliau berkata, TDM tidak mempunyai kuasa dan tidak dilatih dalam pembanterasan jenayah kerana ia di bawah kuasa dan tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Tugas TDM adalah untuk menjaga kedaulatan negara daripada sebarang ancaman luar dan kami sentiasa bersiap-siaga.

“Selain itu, pucuk kepemimpinan TDM juga sedang mengkaji semula strategi dari segi pengawalan pos di kawasan operasi di sempadan negara,” katanya.

Ahmad Hasbullah berkata, pegawai dan anggota perlu berpindah-randah dari satu lokasi ke satu lokasi lain ketika dalam operasi bagi memastikan mereka dapat menguasai kawasan dengan lebih banyak, lebih tangkas dan mudah bergerak apabila dalam operasi.

Kertas putih berkenaan akan memberikan penerangan yang jelas mengenai peranan setiap agensi, organisasi dan rakyat dalam usaha menjaga keamanan negara.

Sebelum ini, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin berkata, dengan adanya kertas berkenaan semua pihak termasuk ATM, polis dan agensi lain yang berkaitan akan mempunyai garis panduan jelas mengenai tugas dan peranan masing-masing.

Mac lalu Dr Mahathir dalam ucapan perasmian Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) berkata, kertas putih pertahanan itu adalah sumbangan penting kepada landskap pertahanan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Jun 2019 @ 8:33 PM