GAMBAR hiasan
Adnan Ibrahim


LELAKI maut selepas kereta dipandunya merempuh bucu besi penghadang jalan di Kilometer 70.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, Kluang, 6.30 petang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, mangsa Megat Hafiz Iskandar Megat Aziz, 35, dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Bukit Jelutong, Selangor bersama bapa, ibu dan seorang anak perempuannya berusia tujuh tahun.

“Kejadian dipercayai berlaku selepas Honda City dipandu mangsa hilang kawalan sebelum melanggar bucu besi di tempat kejadian.

“Akibat kejadian itu, mangsa parah di muka dan dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang datang memberikan bantuan kecemasan,” katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Abduh berkata, bapa mangsa Megat Aziz Megat Nordin, 69, ibu Aminah Abd Rahim, 66, serta anak perempuannya Puteri Khayra Alysha, 7, hanya cedera ringan.

Katanya, mangsa dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang untuk bedah siasat dan rawatan lanjut sebelum dituntut keluarga lewat malam tadi.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati jalan dalam keadaan baik dan lurus dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kenderaan mangsa akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 11:46 AM