Skip this ad x
Penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang di jeti Kampung Baru, Batu 7, Sandakan untuk ke Pulau Nunuyan. FOTO Poliana Ronnie Sidom
Poliana Ronnie Sidom


PERINTAH berkurung di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak menjejaskan pergerakan penduduk untuk berulang-alik ke pulau dan

menyambut Syawal.

Sebaliknya, penduduk bebas bergerak menggunakan bot untuk menziarahi keluarga yang tinggal di pulau sekitar Sandakan.

Tinjauan di jeti Pasar Umum Sandakan dan Kampung Baru, Batu 7 mendapati penduduk menggunakan perkhidmatan bot penambang seawal 7 pagi untuk ke beberapa pulau berhampiran termasuk Pulau Tanjung Aru, Tanjung Batu, Nunuyan, Berhala, Bongon, Lubukan, Mumiang dan Abai.

Penduduk Pulau Bongon, Rozaiman Karim, 33, yang menetap di Sandakan sejak dua tahun lalu berkata, perintah berkurung tidak mengganggu pergerakan mereka kerana ia dikuatkuasakan pada waktu malam.

“Mahu ke Pulau Bongon ambil masa antara 30 minit hingga sejam bergantung kepada kelajuan bot.

“Perintah berkurung tidak ganggu pergerakan kami sebaliknya kami rasa lebih selamat kerana kehadiran pasukan keselamatan di tengah laut,” katanya ketika ditemui di jeti Pasar Umum Sandakan.

Pekerja kilang, Kamsah Bakri, 36, berkata, dia ke Pulau Tanjung Aru untuk menziarahi ahli keluarga yang menetap di pulau terletak dua batu nautika dari pusat bandar.

Katanya, tiada yang membimbangkan sepanjang perjalanan ke pulau itu kerana ia mengambil masa 10 minit untuk sampai selain kehadiran berterusan pasukan keselamatan.

“Kadang-kadang ada pemeriksaan polis di tengah laut tapi mereka cuma periksa sama ada penumpang pakai jaket keselamatan atau tidak dan aspek keselamatan lain.

“Ia usaha yang baik untuk pastikan setiap penumpang bot tidak ambil ringan isu keselamatan ketika di laut,” katanya.

Sementara itu, suri rumah, Kazimah Moktar, 47, yang ditemui di jeti Kampung Baru berkata, dia bersama tiga anaknya ke Pulau Nunuyan untuk mengunjungi keluarga suaminya yang berasal dari pulau itu.

Katanya, pulau terbabit bukan berada dalam kawasan perintah berkurung kerana masih di bawah tiga batu nautika dari pesisir pantai.

“Perintah berkurung selepas 6 petang. Biasanya selepas waktu itu tiada lagi bot penambang bergerak kecuali jika ada kes kecemasan,” katanya.

Perintah berkurung di perairan tujuh daerah bermula sejak 19 Julai 2014 merangkumi Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 1:46 PM