Antara peralatan menghisap dadah yang dirampas polis dalam dua serbuan di Taman Bukit Juru dan Permatang Rawa, Jumaat lalu. FOTO Ihsan PDRM
Hadzlihady Hassan


SURUH jaga kawasan, depa (mereka) hisap dadah pula.

Itu dilakukan lima pengawal keselamatan yang ditangkap dalam dua serbuan di sebuah rumah di Permatang Rawa dan pondok pengawal keselamatan di Taman Bukit Juru, Bukit Mertajam Jumaat lalu.

Dalam serbuan 10.30 malam itu, mereka ditahan ketika lalok dalam rumah serta pondok pengawal yang sepatutnya dijadikan tempat mereka bekerja.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Permatang Rawa, dua pengawal keselamatan berusia 33 dan 37 tahun ditahan kerana menghisap syabu.

“Dalam serbuan itu, kita merampas sepaket plastik mengandungi hablur kristal disyaki syabu dan ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, dalam satu lagi serbuan di pondok pengawal keselamatan di Taman Bukit Juru, tiga lelaki berusia 26 tahun ditahan kerana didapati menghisap dadah.

“Hasil siasatan, kita menemui beg merah jambu yang berada di atas meja dalam bilik pengawal keselamatan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati beg itu mengandungi syabu 0.65 gram dan semua suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan ditahan,” katanya.

Nik Ros Azhan berkata, polis turut merampas botol yang diubahsuai untuk menghisap dadah dan juga pemetik api.

“Dua suspek didapati ada rekod jenayah, kes dadah serta jenayah manakala seorang lagi tiada sebarang rekod lampau.

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kita tidak menolak kemungkinan suspek menjadikan pondok pengawal keselamatan terbabit sebagai lokasi melepaskan gian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 5:11 PM