Fardy Bungga


DUA lelaki yang membelasah suami isteri di belakang premis kedai Api-Api Centre, Kota Kinabalu, Ahad lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, hari ini.

Tertuduh, Asainar @ Hassnar M P Ebrahim, 67, dan Fakarudin Ampong, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Stephanie bagaimanapun membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang.

Mereka turut diarahkan melapor diri kepada pegawai penyiasat setiap dua minggu sekali sehingga kes selesai.

Selain itu, Stephanie turut memerintahkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu saksi dan menetapkan 24 Jun depan untuk pengurusan kes.

FOTO Hiasan
FOTO Hiasan

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama tiga lagi individu yang masih bebas melakukan kesalahan merusuh pada jam 1 pagi, 2 Jun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharih Afendi.

Terdahulu, insiden pergaduhan berkenaan yang tular di media sosial sejak semalam dikatakan berpunca daripada isu pembayaran sewa apartmen.

Tertuduh dikatakan bertemu untuk membuat perbincangan namun gagal mencapai kata sepakat sehingga tercetus pergaduhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 12:55 PM