Mohd Hilmie Hussin


PEKERJA pemasangan penghawa dingin berbangsa Tionghua memilih Aidilfitri untuk meraikan kemenangannya memeluk agama Islam hari ini.

Raymond Tan Kwok Chen, 25, dari Krubong, Melaka, memeluk agama Islam di pejabat Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) Melaka di Bukit Palah dan melafazkan syahadah di hadapan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Azman Aziz.

Proses itu berjalan lancar seperti dikehendakinya meskipun Raymond memberitahu, hasrat awalnya mahu memeluk Islam pada malam Aidilfitri.

Dia yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, minat mendalam terhadap Islam timbul sejak belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim.

“Dalam kelas saya satu-satunya orang Cina dan kawan-kawan semua Melayu.

“Ketika kawan dalam kelas Pendidikan Islam, saya turut mendengar apa yang guru ajar, saya tak mahu keluar kelas,” katanya.

Menurutnya, selepas tamat sekolah, dia bekerja dengan rakan di Kuala Lumpur dan hasrat mendalami Islam semakin mendalam malah dia sering menemani rakan menunaikan solat di masjid.


Azman (lima dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Raymond selepas membimbingnya melafazkan kalimah syahadah. FOTO Rasul Azli Samad

Katanya, rasa ingin tahu dan hasrat memeluk Islam yang lama terpendam, membuatkannya menggunakan media sosial untuk mengetahui cara bukan Islam yang mahu memeluk agama itu.

Akhirnya Raymond berkata, dia menghantar mesej kepada MACMA dan meluahkan.

“Sebenarnya malam raya lagi saya mahu melafazkan syahadah kerana saya tidak sabar menjadi umat Islam dan akhirnya Allah SWT izinkan hari ini.

“Jujur saya katakan, berasa lebih tenang dan akan terus mendalami agama ini.

“Saya juga berpuasa seminggu pertama tahun ini walaupun belum peluk Islam,” katanya.

Menurutnya, dia merasai ketenangan ketika terdengar bacaan al-Quran dan azan yang berkumandang.

Katanya, ibu bapanya tidak menghalang keputusan itu dan dia berazam menambahkan ilmu dalam agama itu.

Raymond berkata, dia mahu mencari pekerjaan di Melaka bagi memudahkan urusannya mendalami ilmu agama Islam anjuran MACMA dan MAIM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 3:47 PM