Laporan portal berita Harian Metro hari ini.
Rizanizam Abdul Hamid


DATUK Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan kepada FELDA untuk membuat laporan polis berhubung insiden papan iklan FELDA yang memaparkan gambarnya dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad disimbah cat merah hari ini.

Setiausaha Politiknya Muhammad Hilman Idham berkata, setakat ini, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu belum membuat laporan polis namun percaya tindakan tidak bertanggungjawab itu ada kaitan dengan sokongan masyarakat FELDA yang semakin kuat terhadap kerajaan hari ini.

“Kementerian yakin tindakan itu dilakukan individu tidak bertanggungjawab yang takut melihat pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan sehingga mendapat dokongan peneroka FELDA.

“Kita yakin ia bertujuan memadam mesej yang ingin disampaikan kerajaan terhadap generasi baharu FELDA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau mengulas laporan portal Harian Metro hari ini mengenai papan iklan berkenaan yang disimbah cat merah walaupun sudah lama dipasang di selekoh di FELDA Palong Tujuh dan Lapan, Jempol, Negeri Sembilan bertujuan menyalurkan maklumat berkaitan hala tuju pembaharuan FELDA.

Kejadian itu disedari Ketua Peneroka Felda Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh yang kecewa dan bercadang membuat laporan polis berhubung kejadian khianat itu.

Mengulas lanjut, Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia berkata, kerajaan akan terus membela nasib peneroka FELDA dan tidak terjejas dengan perbuatan seperti itu.

“Kita serahkan kepada FELDA (untuk membuat laporan polis). Setakat ini ( Mohamed Azmin) tidak membuat laporan,” katanya.

Berita berkaitan

Papan iklan gambar PM disimbah cat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 4:16 PM