Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra dengan tetamu pada Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh. FOTO Mohd Azren Jamaludin.
Badrul Kamal Zakaria


SEMUA pihak tidak wajar mempersoalkan pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya kerana ia dibuat mengikut prosedur betul.

Isu pelantikan orang nombor satu SPRM itu timbul disebabkan isu politik yang kemudiannya dilakukan mengikut tafsiran masing-masing.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, adalah tidak wajar untuk mana-mana pihak mempersoal atau mempertikaikan pelantikan itu.

“Dari segi Perlembagaan, dari segi kuasa eksekutif ia dibuat mengikut prosedur betul. Cuma yang berbangkit sekarang ialah soal politik.

“Mereka mempersoalkan isu politik mengikut tafsiran masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Peringkat Parlimen Pagoh di Dewan Orang Ramai Felda Sri Ledang, Tangkak hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, pihaknya mengakui perkara itu terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) dan ia juga sudah dijelaskan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya fikir kita tak nak lagi persoalkan (isu pelantikan) mungkin untuk ke hadapan.

“Perkara ini terletak di bawah urusetia PH dan boleh ingatkan bukan saja Perdana Menteri tetapi juga lain-lain menteri kerana beberapa yang kita senaraikan dalam manifesto itu menjadi satu janji yang harus kita tunaikan.

“Mungkin kerana kita baharu lagi (menjadi kerajaan), kita kadang-kadang belum lagi meneliti perkara itu.

“Jadi untuk ke hadapan supaya selari dengan apa yang kita kemukakan dalam manifesto, maka baik jugalah perbincangan diadakan di peringkat tertinggi,” katanya.

Beliau berkata, isu ini bukan soal mempertikaikan hak istimewa kerana prerogatif dalam isu ini adalah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Apa pun dari segi politik, ada baik sebagaimana yang disarankan oleh pemimpin PH supaya ada sedikit perbincangan supaya kita dapat memperingatkan mengenai perkara yang sudah kita janjikan untuk membuat keputusan, itu keputusan kita.

“Saya yakin Perdana Menteri akan berbincang dengan pimpinan tertinggi PH supaya mereka faham dan tahu sebagai langkah akhir, itu keputusan Perdana Menteri.

“Itu juga adalah proses dalam Perlembagaan dan saya tak fikir sesiapa boleh pertikaikan soal itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 5:31 PM