Go-kart yang dipandu remaja perempuan malam tadi. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini


REMAJA perempuan warga asing maut dipercayai terbabas ketika memandu di litar go-kart di pusat sukan ekstrem itu di Bandar Medini Iskandar, Iskandar Puteri malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, dalam kejadian 9.20 malam itu, seorang lelaki tempatan memaklumkan terdengar dentuman kuat di tempat kejadian.

“Kemudian datang marshal bertugas di litar go-kart memaklumkan mangsa, Chloe Josephine, 18, iaitu warga British terbabas ketika memandu go-kart.

“Marshal dan rakannya memberitahu, gadis itu mengalami pendarahan hidung dan dibawa ke Hospital Gleneagles, Iskandar Puteri untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Hospital kemudian mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat ‘post trauma’,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Lokasi kemalangan remaja perempuan yang memandu go-kart malam tadi. FOTO Ihsan PDRM

Dzulkhairi berkata, terdapat kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu tetapi tidak berfungsi.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kulai untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 5:41 PM