Gambar terkini Ainul Mardhiah yang dikongsi bapanya, Ahmad Safiuddin di Facebook. FOTO Ihsan FB Ahmad Safiuddin
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com


BAYI yang menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, 10 bulan, dijangka menjalani pembedahan dalam waktu terdekat.

Berdasarkan kenyataan Facebook bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, pelbagai pihak bertanyakan bilakah Ainul Mardhiah akan menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu.

“Saya dan isteri (Nurul Erwani Zaidi, 24) berharap kita semua dapat bersabar dan bantu kami doakan Ainul.

“Ainul akan dibedah tidak lama lagi, cuma sekarang mereka di sini mahu Ainul besar dan kuat sikit.

“MRI sudah buat dan doktor pakar sudah berbincang dan selepas meneliti keadaan Ainul, mereka sebulat suara menjawab, Ya Ainul akan dibedah,” katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Menerusi catatan itu juga, Ahmad Safiuddin berkata, doktor mahu Ainul betul-betul bersedia sebelum menjalani pembedahan yang dijangka mengambil masa panjang.

Katanya, sebelum pembedahan, pelbagai perkara perlu dilalui Ainul kerana menurut doktor, pembedahan itu terlalu berisiko.

Justeru, Ahmad Safiuddin memohon masyarakat yang mengikuti perkembangan Ainul Mardhiah, bersama-sama mendoakan keselamatan dan kejayaan pembedahan tanpa komplikasi.

Berita berkaitan

'Terima kasih semua, doakan Ainul'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 6:03 PM