ALIRAN trafik sesak di KM 306 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, 1.30 tengah hari tadi. FOTO Abdullah Yusof
ALIRAN trafik sesak di KM 306 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, dekat Kampar, 1.30 tengah hari tadi. FOTO Abdullah Yusof
Redzuan Muharam


ALIRAN trafik dari utara dan selatan tanah air menuju ke ibu kota mulai sesak bermula jam 11 pagi tadi dan dijangka berterusan sehingga tengah malam ini.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Malaysia Berhad Mohd Yusof Abdul Aziz berkata, kesesakan dari arah selatan bermula di Sedenak, Johor sehingga Nilai, Negeri Sembilan, manakala Juru, Pulau Pinang ke Sungkai, Perak untuk laluan dari arah utara.

Menurutnya, kesesakan sama akan berlaku pada waktu sama esok dan Ahad ini berikutan peningkatan jumlah kenderaan dari kedua-dua arah.

“Memang berlaku kesesakan untuk aliran trafik dari kedua-dua arah dan ia disebabkan peningkatan bilangan kenderaan menuju ke ibu kota dengan purata 1.6 hingga 1.7 juta kenderaan, setiap hari.

“Malah, keadaan ini berlaku sejak semalam lagi sebelum keadaan kembali seperti sedia kala kira-kira 3.30 pagi.

“Kita jangkakan kesesakan itu akan berterusan sehingga Ahad ini, namun lebih terkawal berikutan larangan kenderaan berat memasuki lebuh raya pada 8 dan 9 Jun yang dikuatkuasakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Yusof berkata, pihaknya berharap semua pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal mengutamakan aspek keselamatan dengan mematuhi had laju ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan.

“Berdasarkan maklumat diterima, sebanyak 15 kes kemalangan maut direkodkan dalam tempoh Op Selamat yang masih berjalan dan 13 daripadanya membabitkan penunggang motosikal.

“Justeru, kita nasihatkan penunggang motosikal untuk tidak menunggang melebihi had laju selain mengelak berkonvoi pada waktu malam.

“Mereka yang memandu kereta lebih dua jam dinasihatkan untuk berhenti di kawasan hentian dan rehat (R&R) bagi mendapatkan rehat sebelum menyambung perjalanan ke destinasi,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1-800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di1-800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 7:42 PM