Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz


“KESEDIHAN pemergian ibu tercinta enam bulan lalu masih belum terubat, kini saya terpaksa pula berhadapan dengan satu lagi dugaan apabila suami pergi menghadap Ilahi semalam... ia ujian yang amat berat untuk saya tanggung,” kata Noraini Hashim, 42.

Noraini adalah isteri kepada Hamdan Mat, 47, yang maut dalam kemalangan ketika pulang berhari raya secara berkonvoi di Jalan Besar Jengka 23, Maran, malam semalam.

Katanya, kehilangan suaminya itu menjadi tamparan hebat buatnya memandangkan selama ini dia bergantung sepenuhnya kepada Hamdan.

“Dia keluar petang semalam dan beritahu mahu konvoi beraya dengan kawan-kawan, saya tidak kisah dia mengikuti konvoi motosikal kerana memang itu minatnya sejak dahulu.

“Sebelum ini dia pernah cakap mahu berhenti (menyertai) konvoi dan mungkin semalam berkonvoi buat kali terakhir, tetapi tidak sangka ia memang konvoinya yang terakhir dan dia pergi untuk selama-lamanya,” katanya yang ditemui di rumah mentuanya di FELDA Lepar Hilir 1, Gambang, di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 10.15 malam semalam, motosikal yang ditunggang Hamdan bergesel dengan motosikal rakannya, Mohammad Shahrizan Ahmad, 37, sebelum mereka terjatuh dan dilanggar sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan sehingga menyebabkan kedua-duanya maut.

Noraini berkata, dia mengetahui mengenai kejadian itu kira-kira 10 malam selepas dimaklumkan oleh salah seorang rakannya dan dia terus memeriksa kumpulan dalam aplikasi WhatsApp telefon bimbit milik suaminya yang ditinggalkan di rumah.


NORAINI bersama anaknya Hisham Hammani menunjukkan foto arwah Hamdan FOTO Fariizul Hafiz Awang

“Sebelum ini, suami tidak pernah tinggal telefon bimbitnya tetapi semalam dia tidak membawanya bersama, sebaik memeriksa telefon itu saya melihat gambar suami dalam keadaan tertiarap di atas jalan yang dikongsikan di dalam ‘group’ (kumpulan) WhatsApp itu.

“Lutut saya menjadi lemah dan tangan saya menggeletar apabila melihat gambar itu, fikiran saya menjadi gelap dan kosong... sukar untuk gambarkan perasaan saya ketika itu,” katanya.

Katanya, dia kini buntu bagaimana untuk membesarkan dua anaknya, Hisham Hammani, 9, dan Siti Nur Aisyah, 14, memandangkan dia tidak bekerja dan tidak pandai memandu kereta.

“Selama ini saya memang bergantung sepenuhnya kepada suami, selepas pemergiannya mahu atau tidak saya perlu mencari kerja demi membesarkan dua anak kami,” katanya yang tinggal di FELDA Panching Timur, Kuantan.

Sementara itu, abang kepada arwah, Amran Mat, 53, berkata, dia tidak menyangka tindakan adiknya memakai songkok pada pagi Aidilfitri adalah petanda dia akan pergi meninggalkan mereka semua.

“Dia tidak suka memakai songkok tetapi kelmarin dia bertindak untuk memakainya, kami agak hairan namun tidak terfikir apa-apa.

“Arwah juga kelihatan gembira luar biasa menyambut Aidilfitri tahun ini, itu kelainan yang kami sekeluarga sedari padanya,” katanya.

Jenazah anak keempat dari 10 beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam FELDA Lepar Hilir 1 selepas selesai solat Jumaat, hari ini.

Berita berkaitan

Dua maut dalam tragedi konvoi raya

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2019 @ 8:01 PM