SEJUMLAH 14,793 kemalangan dilaporkan dalam tempoh sembilan hari Op Selamat.
Hidayatul Akmal Ahmad


SEBANYAK 159 kematian disebabkan kemalangan jalan raya yang direkodkan dalam tempoh sembilan hari Op Selamat ke-15 yang dilancarkan sejak Rabu lalu sempena Aidilfitri tahun ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Asmawati Ahmad berkata, sebanyak 14,793 kes kemalangan membabitkan 20,903 kenderaan dilaporkan di seluruh negara sepanjang tempoh itu.

“Selangor merekodkan jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 4,057 kes, diikuti Johor (2,259) dan Kuala Lumpur (1,865),” katanya dalam kenyataan, semalam.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 2,610 operasi dijalankan di seluruh negara dengan 197,541 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Bagi kes pecah rumah dan premis pula, 380 kes direkodkan dalam tempoh sembilan hari Op Selamat di seluruh negara,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis beri tumpuan kepada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15/2019 yang dijalankan hingga 12 Jun ini.

Enam kesalahan itu membabitkan memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit ketika memandu, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 6:00 AM