Siti Nor Hidayatidayu Razali

KEMATIAN Orang Asli suku Batik di Kuala Koh, Gua Musang akibat jangkitan kuman di paru-paru dan tibi memerlukan perhatian segera semua pihak untuk menyelamatkan mereka.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, sebanyak 13 kematian dalam tempoh sebulan itu memerlukan perhatian segera semua pihak.

Katanya, jika benar punca kematian Orang Asli terbabit berpunca daripada sisa buangan lombong bijih besi yang mencemari tadahan air, langkah segera membekalkan air bersih perlu diambil.

“Siasatan juga perlu dibuat untuk mengatasi masalah itu dan kesan amalan perlombongan berkenaan.

“Ini adalah satu peristiwa malang, Orang Asli yang sedia ketinggalan dan kesempitan dalam semua segi, disukarkan lagi kehidupan mereka sehingga mengorbankan bilangan yang besar keluarga mereka, termasuk kanak-kanak.

“Lebih penting ialah anggota masyarakat mereka yang masih hidup tidak terus menjadi mangsa dan dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menyeru semua agensi terbabit tampil menyiasat kedudukan sebenar isu itu dan mengambil langkah proaktif untuk menyelamatkan mangsa dan memaklumkan kedudukan sebenar kepada keluarga dan masyarakat Orang Asli secara keseluruhannya.

Terdahulu, penyakit tibi dan jangkitan kuman di paru-paru dipercayai menjadi punca kematian 13 Orang Asli suku kaum Batek di Kuala Koh, Gua Musang.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Taufik Maidin, berkata 13 kematian itu dicatatkan dalam tempoh sejak Mei lalu sehingga kelmarin.

Katanya, pihaknya menerima dua laporan daripada Orang Asli membabitkan jangkitan kuman di paru-paru atau pneumonia.

  • Lagi berita berkaitan Musibah Kaum Batek
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Jun 2019 @ 8:12 PM